Translate

Khamis, 21 Januari 2016

INGGERIS MENANGIS

                Perang terus perang, kali ini perang bersama  anak lelaki pula iaitu Putera Armyzz. Kali ini ia berbeza sedikit perangainya . Jadual tetap sama , buku tiap-tiap bulan beli. Tetapi kekadang habis buat latihan dan kekadang tidak habis buat macam baru beli. Biasalah budak lelaki . Bagi anak lelaki ke atau anak perempuan  semuanya sama, aku sekat kebebasan , aku suruh mereka bermain sesama sendiri. Kalau berjalan pun mereka mesti bersama ibubapa. Tidak pernah mereka keluar bermain dengan kawan-kawan lain. Kalau bermain pun hanya waktu sekolah sahaja.
Aku tidak perduli orang lain hendak kata apa padaku ...yang pastinya anak-anak aku terkawal.
Putera ini , dia mengikuti jadual  aku tetapi tidak sampai tahap yang aku kehendaki. sungguhpun begitu otaknya cepat dapat. Yang paling aku risau ialah mata pelajaran  bahasa Inggeris.
Sewaktu dari darjah 5 lagi dia lemah pelajaran itu. Selalunya kalau dia periksa dia akan dapat C dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Apabila darjah 6 ini, aku banyak  membeli buku latihan  BI (Bahasa Inggeris)dan menyuruh dia membuat latihan hari-hari. Hendak minta bantuan Suzzy ,dia pun sudah pergi berkerja, Hanya minta bantuan daripada kakaknya sahaja. Di samping itu juga suamiku turut menolog  mempertingkatkan BI  Putera. Kakak tidak dapat tawaran asrama. MRSM . Sek. Asrama Penuh dan Sek. Rancangan Negeri yang kami pohon tidak berjaya.  Walaupun 5A dalam tangan. Mungkin nasib tidak menyebelahi kakak. Mungkin Allah memberi dia peluang untuk menolong adik-adiknya di rumah. Atau kemungkinan besar saingan sangat ramai kerana zaman sekarang ini,  ramai budak yang pandai-pandai, lebih-lebih lagi budak perempuan.
Apa-apa pun kami suami isteri redha dengan ketentuaNya. Sama-sama kita berdoa mungkin nasib baiknya akan datang selepas ini.Kalau dahulu kakaknya , aku bacakan nota Sains  dan buku-buku pelajaran lain . Kali ini Putera pula mengambil tempat kakak. Malah tiap-tiap malam . Alhamdullilah  dia turuti, tetapi  hendak menjadi kebiasaan  berbagai rintangan  yang terpaksa aku lalui.
 Bagi Putera, mata pelajaran matematik, Sains tiada masalah....pernah dia periksa matematik dapat 100%. Begitu juga dengan kakaknya dahulu semasa darjah 6. Kakaknya dahulu yang menjadi masalah  ialah mata pelajaran  Sains. Mata pelajaran lain ok. Putera pula Mata pelajaran BI menjadi satu beban baginya. Pernah sekali dia buat  karangan BI panjang berjela , tetapi salah grammarnya. Lalu aku suruh padam semua karangannya dan buat semula, sedangkan masa itu jam sudah pukul 11 malam .Esok dah hendak hantar kerja BI ini.Mata dia pun sudah merah menyala dan berair. Hendak tidur nanti tidak siap kerja sekolah dan aku marah pula. Kakaknya yang menjadi mangsa untuk mengajar adiknya. Putera dengan tidak banyak cakap membuat karangan baru yang di tunjuk oleh kakaknya. Sambil menulis sambil mengelap air mata, dia buat juga sampai siap.  Apabila sudah siap disemak pula oleh abahnya. Jam 12.30 baru selesai dan terus dia tidur dalam keletihan dan kesedihan. Kasihan juga aku melihatnya, tapi apa
 boleh buat semua yang aku lakukan semata-mata untuk masa depannya. Kejamkah aku ini....Kalau kejam maafkan mak, ampunilah dosa mak. Namun begitu mak tetap menyanyangi kamu semua
Pada anaku yang lain ,mereka belajar seperti biasa tiada tekanan dan paksaan . Aku mahu tumpukan pada anak yang akan mengambil peperiksaan UPSR sahaja. Putera juga mengambil peperiksaan UPKK (Sek. Agama Rakyat waktu petang ) Kakaknya dahulu tidak pergi atas alasan mahu menumpukan sepenuhnya pada UPSR. Tetapi bila aku sudah tahu teknik mengajar dengan betul tampa menganggu aktiviti sek. agama rakyat  maka aku menyuruh Putera ke sekolah Agama Rakyat.
Di dalam kesibukan melayan pelajaran anak-anak ,aku tidak sedar bahawa aku  mengandung anak ke enam baru masuk seminggu  Itu pun aku sedari apabila aku lewat datang bulan  selama 18 hari.
Aku pun hairan selalunya datang bulan aku tepat dan tak ada masalah kelewatan bulan. Yang menjadi peliknya dalam mengandung ini aku di datangi  darah bulan . Aku sangkakan pekara biasa . Kadang-kadang ada juga orang mengandung datang darah bulan. Lama- kelamaan  darah semakin banyak keluar. Aku ingat masalah fibroid aku tetapi rupa-rupanya aku keguguran . Kemungkinan aku terlalu penat menguruskan anak-anak kecil Mungkin juga masalah fibroid aku. Aku keguguran ketika usia janinku 2 minggu lebih..
Aku ke klinik swasta untuk cuci rahimku. Fibroid aku masih lagi mengecil. Mungkin tiada rezeki untuk kelahiran anak aku yang ke enam. Walaupun aku keguguran 2 minggu ,aku tetap berpantang macam orang bersalin juga, cuma ringan sedikit pantangnya. Sungguhpun begitu pelajaran anak  masih diutamakan . Badan sahaja yang berpantang ,mulut tidak.
Aku, kalau ada masalah dengan pelajaran anak-anak atau masalah lain  selalu aku kongsikan dengan suamiku. Suamiku sentiasa ada bersama aku samada senang atau susah. Terima kasih suamiku yang tercinta dan di sayangi selalu. Bulan berganti bulan , masa berganti waktu. Makin takut kita pada waktu , makin dekat ia menghampiri kita. Masa belajar semakin suntuk, masa peperiksaan  semakin hampir. Di dalam meniti dan menghitung hari , tiba-tiba kami dikhabarkan berita konvokesyen  suamiku pada bulan 7 tahun 2007.
Bagi diriku berita ini amat mengembirakan , tapi bila difikirkan  bagaimana kami hendak ke sana . Memandangkan kereta proton saga  kami sudah lama dan selalu rosak. Hendak pergi dengan menaiki bas ,wang pun tiada. Lagi pun anak-anak ramai dan masih kecil lagi. Suamiku fikir biarlah pihak Universiti  hantar ijazahnya melalui pos sahaja. Seperti yang pernah dia buat dahulu ketika menerima ijazah diploma. Konvokesyen itu di adakan di PWTC Kuala Lumpur. Di masa kami mencari penyelesaian tiba-tiba adik ipar aku  yang nombur 3 menyarankan kami membeli kereta baru. Kereta Avanza keluaran terbaru. Adik ipar aku menawarkan pinjaman daripadanya . Nanti kalau kami ada wang bayarlah sidikit-sedikit. " Belilah kereta baru Long , kasihan anak-anak. Sekurang-kurangnya anak -anak boleh tumpang semangat bapa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Lagipun kereta proton saga sudah lama habis di bayar. " Kata adik ipar aku  Rosham (Pak Alang).
Fikir punya fikir akhirnya suamiku membuat keputusan untuk memiliki kereta baru . Maka kami meminjam wang Pak Alang  sebanyak RM 3000 sebagai wang muka. Kebetulan pada Tahun Baru Cina  kami diberi diskaun. Avanza warna hitam kelabu. Hati ini rasa seronok tapi kasihan pula dengan suamiku ,nanti setiap bulan dia terpaksa membayar RM 655. Kalau tidak beli kereta baru ,kasihan suamiku tidak merasa naik pentas ambil ijazah. Masa diploma sudah dia korbankan, dia terpaksa bagi duit untuk adik-adiknya belajar . Dia sanggup memberi duit simpanan untuk ibunya yang sangat memerlukan  . Aku sebagai isterinya  tidak akan membiarkan impian suamiku  melalui pos sahaja. Apa salahnya ,umur sudah dewasa masih layak  dan masih sempat lagi  meraikan  hari anugerah kecemerlangan ijazah Sarjana Muda IT ( Kelas ke dua atas ) Mungkin pada umur  ini juga suamiku boleh membuktikan kepada anak-anak bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan  tidak perlu mengukur umur. Apa yang penting semangat ingin berjaya. 
Pada tahun  Baru Cina  bulan 2 tahun 2007 kami sudah memiliki Avanza baru. Wau...! luasnya macam naik van pula. Suamiku pula rasa macam bawa bas . Pada mulanya agak kekok sedikit. Sekarang ini kami sudah biasa. Anak-anak ...apa lagi suka tak terkira. Kereta lama kami simpan bawah pokok manggis belakang rumah mertuaku. Konon-kononnya hendak dipakai  bila kami ke kebun. Tetapi akhirnya ia tersadai di situ. Kasihan ia...walau bagaimana pun suamiku rasa sayang  pada kereta lama ,sehinggakan dia ambil keputusan untuk tidak menjual kereta itu. Kereta proton itu juga tidak pernah meragam dan banyak jasa-jasanya. Cuma akhir-akhir ini sahaja dia mula rosak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan